Izinkan saya memperkenalkan, insan yang Allah kirim kepada saya bersama ujianNya yang membuat saya rasa amat istimewa terpilih untuk diuji dengan dugaan sedemikian rupa. Insan mulia ini ialah Prof. Dr. Zulmi bin Wan, seorang doktor pakar bedah tulang yang berasal dari utara tanah air dan pernah memcurah bakti di HUSM Kubang Kerian, Kelantan. Beliau merupakan doktor yang amat istimewa.
Di mata saya, sejak mengenali beliau dari tahun 1996 apabila mula saya menjejak kaki ke Wad Ortopedik, HUSM, sungguh saya tidak sangka sama sekali beliau merupakan pakar yang saya tunggu-tunggu waktu untuk untuk saya serahkan nasib diri saya kepadanya. Setelah saya disyaki menghidap sejenis ketumbuhan di tangan dan dimasukkan ke wad, terdengar desas-desus bahawa tangan saya ini akan dipotong bagi mengelak ketumbuhan tersebut dari terus merebak.
Saat itu, magis mulai muncul dalam hidup saya. Dimaklumkan menerusi para doktor lain akan ada seorang pakar yang akan tamat dari menyambung pelajarannya di Itali dan akan pulang untuk melihat kondisi saya waktu itu. Besar harapan saya untuk berjumpa beliau dan rezeki Allah SWT nyata berpihak kepada saya. Beliaulah orangnya yang mana masih jelas terasa hangat pandangan matanya memandang saya, dan serasa seolah diri ini amat disayangi tak ubah seperti seorang ayah memandang anaknya sendiri.
Menerusi perbincangan demi perbincangan, saya menerima rawatan kemoterapi sebelum menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan itu. Sepanjang menempuhi ujian tersebut, air mata saya jarang sekali menitis (sebaliknya dengan nenda bonda) kerana saya rasa cukup dikasihi waktu itu. Saya ditatang bagai minyak yang penuh oleh ahli keluarga, doktor, jururawat dan semua yang terlibat pada waktu itu. Maklum sajalah, umur baru menginjak 16.
Jalinan erat perhubungan ini tidak terhenti setakat itu. Setelah saya disahkan "sihat" dan dibenarkan pulang, Prof. Zulmi melayan saya persis VIP di Klinik Ortopedik tiapkali saya hadir menjalani pemeriksaan lanjutan. Kata beliau, saya ni "pesakit lama" nya :) Agak lama juga kan...dari 1996 hingga 2013...sehingga satu hari saya menerima panggilan dari HUSM memaklumkan Abah saya ini asyik menyebut nama saya dan ingin berjumpa saya. Apa pula kejutan beliau kali ini? Hati kecil saya berdetik...
Tidak sama sekali terlintas di fikiran, beliau dulu yang akan "meninggalkan" kami. Kami semua warga HUSM Kubang Kerian...dengan pandangan berat, beliau seolah meminta saya agar memahami dan merelakan pemergian beliau ke Kuala Lumpur untuk berkhidmat di sana. Jelasnya, itu adalah permintaan dari isteri yang sukar untuk beliau tolak. Memangnya tidak perlu saya diterangkan sebegitu tetapi mungkin "jalinan" yang saya maksudkan tadi memaksa beliau bertindak sedemikian. Luluh juga hati saya waktu itu...tapi tetap saya berpegang, jika nyata kita sayangkan seseorang dengan sepenuh hati, harus kita biarkan dia pergi demi kebaikannya. Jangan kita bersifat pentingkan diri.
Insan ini yang telah Allah kurniakan untuk "menjaga" saya selama ini akan pergi menabur bakti di tempat asing baginya. Saya akur. Namun setiap kenangan bersamanya saya pegang kemas di dalam hati dan akan saya ingat sehingga ke akhir nafas saya. Tanpa beliau, saya tidak tahu bagaimana untuk senyum biarpun disahkan menghidap barah / kanser tulang tahap 2 waktu itu. Tanpa beliau, tidak saya faham erti hidup itu perlu terus. Dan beliau juga yang membuat saya memandang hidup ini dari sudut berbeza...Gaya beliau amat santai bersahaja biarpun memiliki ilmu menggunung di dalam bidangnya, tiada langsung riak sombong di wajahnya.
Beliau benar-benar memiliki tempat istimewa dalam kamus hidup saya (Bibi mesti tersenyum baca tulisan saya ini). Akan saya namakan zuriat saya kelak bersempena dengan namanya. Moga Tuhan mendengar dan memakbulkan doa saya yang satu ini. Untuk Prof. Zulmi, saya sangat sayangkan Dr. sepertimana saya sayangkan abah saya sendiri. Ucapan terima kasih sahaja tak cukup untuk menandingi semua kasih yang telah Dr. curahkan kepada saya dan semua pesakit Dr. selama ini. Moga Allah kurniakan kegembiraan dan kesihatan berpanjangan kepada Dr., aaminn...
0 comments:
Post a Comment