Saya selaku warga Putrajaya...rasa tidak sah jika tidak mengajak semua rakan pembaca untuk datang ke FLORIA di Putrajaya. Satu program yang tidak asing lagi kepada semua peminat bunga-bungaan di dalam negara. Dari hanya sekadar membawa keluarga berjalan menikmati keindahan taman bunga "jadian" sehingga agenda membeli belah pelbagai jualan benih dan pokok yang eksotik, FLORIA pada kali ini dijenamakan sebagai Royal FLORIA Putrajaya yang pasti akan menjanjikan satu pengalaman menarik untuk dikunjungi. Berlatarbelakangkan tasik luas membiru bersebelahan jambatan di Lebuh Sentosa, program yang bertemakan bunga kekwa (Chrysanthemum) ini berlangsung dari 27 Mei hingga 4 Jun bermula dalam masa 5 hari sahaja lagi.
Anda tentu tidak mahu ketinggalan untuk menyelitkan FLORIA di dalam jadual cuti sekolah anda. Tema yang dibawa pada tahun ini adalah Dunia Magis FLORIA dimana ianya mengetengahkan konsep sebuah percutian keluarga yang menakjubkan ke Taman Magika. Pada kali ini, FLORIA diadaptasi dari teknologi terkini Eropah dimana pengunjung akan dibawa menyusuri alam magika yang terdiri dari Hutan Mistik, Taman Krisantimum, Dunia Duyung dan Laman Manisan. Semua ini pasti akan meninggalkan memori manis untuk dikenang oleh para peminat flora dan seni landskap.
Festival anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) ini merupakan yang ke-9 diadakan dan terbaik pada pandangan saya setakat ini. Ramai penggubah seni landskap terkenal dari pelusuk dunia datang untuk mempamerkan gubahan kreatif, unik dan tersendiri seperti Australia, Jerman, Jepun, Indonesia dan Thailand. Kaunter tiket akan bersedia seawal 7.00 pagi - 7.00 malam sepanjang tempoh tersebut.
FLORIA akan bermula dari 27 Mei - 4 Jun 2016 dari jam 9:00 pagi - 10:30 malam (Isnin - Khamis) dan dari 9:00 pagi - 12:00 tengah malam (Jumaat hingga Ahad). Harga tiket pula adalah seperti berikut:
Bagi pemegang MyKad:
Dewasa RM5.50 manakala kanak-kanak dan OKU cuma RM3.50
Bagi Bukan Pemegang MyKad:
Dewasa RM22 manakala kanak-kanak dan OKU RM11
Untuk memasuki Taman Magika di dalam FLORIA, dewasa RM10.50 manakala kanak-kanak RM5.50.
0 comments:
Post a Comment