Sunday, 22 May 2016

My TTC Journey - Part 1 : HSG




Impian setiap perkahwinan adalah untuk menimang cahayamata namun ada juga yang sebaliknya. Jadi...Saya seperti pasangan biasa lain, inginkan zuriat sendiri sebagai penyeri keluarga kecil kami. Berkahwin di usia muda seawal 25 tahun, saya tidak mengimpikan untuk terus menimang cahaya mata tetapi tidak juga merancang kelahiran. Segalanya saya serahkan kepada aturanNya memandangkan saya berkahwin di tahun akhir pengajian.

Awalnya, saya biasa-biasa saja...Tidak pernah terlintas akan "terpilih" untuk diuji kerana semua adik-beradik saya rata-rata bunting pelamin. Agak berdebar di awal tahun perkahwinan namun apabila didapati diri tidak hamil, tidak juga saya cepat melatah. Saya hanya bersikap positif (hingga kini) dan meneruskan kehidupan sepertinya tiada apa-apa yang pelik berlaku memandangkan saya tidak mengalami sebarang simptom ketidaksuburan.

Pada satu hari, hati saya terdetik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik berdekatan. Saya terus ke klinik tanpa sebarang temujanji dan meminta doktor yang merawat untuk membuat pemeriksaan lanjutan namun memandangkan usia perkahwinan saya baru setahun, doktor mengatakan masih terlalu awal dan meminta saya datang lagi dalam tempoh setahun. Saya pulang dengan perasan hampa.


Dalam tahun ketiga, saya mengalami senggugut semasa period (saya tidak pernah senggugut). Suami bergegas membawa saya ke klinik dan doktor melakukan pemeriksaan air kencing dan juga scan. Itulah pertama kali saya melihat rahim saya sendiri, agak teruja melihat sesuatu yang sebegitu hebat yang kita miliki di skrin. Bulat dan comel. Doktor maklumkan ada cyst bersaiz kecil dan saya dibekalkan ubat untuk makan. 

Memandangkan waktu itu, saya bekerja di Kuala Lumpur, saya cuba mendapatkan rawatan di klinik pakar di sana. Saya mula tertarik untuk mencari kaedah rawatan menerusi pembacaan di internet. Ramai rakan-rakan senasib yang saya kenali menerusi blog mencadangkan beberapa lokasi yang baik untuk menjalani rawatan kesuburan. Perkara pertama saya lakukan semasa itu adalah membuat pemeriksaan asas dan HSG. 


HSG adalah ujian yang digunakan untuk mengesan kesihatan rahim dan salur peranakan dan memberikan maklumat samada terdapat kerosakkan pada sistem peranakan kita. Ia mengunakan teknologi x-ray yang dapat memberikan gambaran bentuk rahim dan salur peranakan. Semasa ujian ini, cecair khas akan disuntik ke dalam rahim dan ia akan mengalir kedalam salur peranakan dan seterusnya ke dalam ruang pelvis. Ada rasa sakit sedikit semasa prosedur kerana cecairnya yang sejuk... *__*

Secara umumnya, HSG digunakan untuk mengesan ketidaknormalan pada rahim dan salur peranakan. Ia boleh mengesan kerosakan dan penyumbatan pada pada salur peranakan dan juga boleh memberikan maklumat tentang bentuk dan saiz rahim anda. Ia juga boleh mengesan fibroid atau polip dalam rahim dan juga memberi idea tentang kewujudan parut disekitar ruang pelvis. 

Saya diberikan ubat tahan sakit untuk mengelakkan rasa sakit dan terus pulang untuk berehat selepas sesi pemeriksaan HSG. Kepada yang belum pernah melakukan rawatan ini, saya berpandangan, rawatan ini tidaklah sesakit yang dibayangkan...Anda cuma perlu bertenang dan tidak membayangkan perkara-perkara pelik bagi mengelakkan ketidaklancaran semasa prosedur dijalankan...

Keputusannya? Alhamdulillah baik-baik sahaja...tiada mana-mana saluran yang tersumbat dan saya boleh menjalani rawatan susulan selepas itu :)

Credit to : Alam Hamil

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...