Wednesday 8 June 2016

Lawatan Pertama Ke Rumah Pesakit Kanser


Pada minggu lepas, saya dipermudahkan niat untuk lebih meluangkan masa bersama golongan kurang bernasib baik. Tiba-tiba sahaja saya menerima panggilan telefon daripada salah satu NGO untuk mengajak saya ke sesi lawatan ke rumah pesakit kanser. Baru teringat bahawa saya pernah menawarkan diri sebagai sukarelawan tersebut tidak lama dahulu. Ini peluang saya, saya tak akan lepaskan.

Kebetulan, satu mesyuarat yang dijadualkan sebelumnya telah ditukarkan lokasi, dan saya tidak perlu lagi hadir. Justeru, saya meminta keizinan daripada majikan untuk menyertai lawatan tersebut. Saya bersama seorang rakan serta 3 orang jururawat hospital dengan menaiki kenderaan persatuan untuk ke rumah pesakit tersebut. Lokasinya adalah tidak jauh dari Putrajaya.

Apabila tiba, Encik P, suami kepada pesakit barah tahap 4 tersebut menyambut baik kehadiran kami. Wajahnya yang lembut tersenyum menyapa kami dengan ucapan selamat pagi. Kami kemudian dibawa masuk ke bilik untuk melihat keadaan isteri kesayangannya yang sedang terbaring lemah. Tutur suaranya amat perlahan dikhuatiri mengganggu lena si isteri. Dihulurkan satu bekas plastik yang di dalamnya terdapat bermacam-macam ubat apabila diminta oleh jururawat. 

Morfin? Balas jururawat. Encik P mengangguk perlahan. Saya bagi ubat ini untuk bagi dia kurang sakit, tuturnya. Ubat yang dibekalkan doktor mungkin dirasakan tidak memadai untuk meringankan kesakitan si isteri. Kami semua terdiam. Memang benar, letakkan kita di situasi si suami, hanya mahukan yang terbaik untuk keselesaan si isteri kerana saat itu, hanya itu yang mampu diberi.

Keadaan isterinya yang lemah dan tidak berselera makan agak meresahkan jururawat yang datang. Dipujuknya Encik P untuk membawa isterinya untuk tinggal di wad namun pilihan Mr. A adalah tetap dan tidak berubah, beliau memilih untuk menunaikan permintaan si isteri iaitu untuk tidak dihantar ke mana-mana hospital lagi. Jaga si isteri dikejutkan dengan mesin mengesan tekanan darah. matanya yang tertutup rapat mula terbuka. 

Beliau mula meracau dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana kekurangan oksigen. Encik P memegang kepala sambil mengusap lembut rambut isterinya. Kami jadi bertambah sayu. Bertuah sungguh dikurniakan suami sebaik itu yang setia hingga ke saat getir sebegitu. Sungguh Allah jua sebaik-baik perancang.  ~__~

Sesis lawatan berlangsung hampir setengah jam. Lawatan ini benar-benar bermakna dan memberi kesan pada saya. Ia memberi saya peluang untuk melihat kehidupan ini dari pelbagai sudut berbeza. Benar Allah akan menganugerahkan kepada kita pasangan yang terbaik. Mungkin pasangan kita itu tidak berharta, namun cukup besar jiwanya...Mungkin juga pasangan kita itu kurang romantis tapi cukup sekadar dia mampu meneman disisi di waktu getir kita.. Allahu'alam.

Tuesday 24 May 2016

Barah Tulang / Bone Cancer (Osteosarcoma) - Part 1


Siapa yang pernah terfikir dirinya akan menghidap salah satu penyakit yang paling digeruni semua...Daripada hanya mendengar cerita demi cerita, melihat kesedihan yang menyelubung mereka dan merasa kasihan terhadap si penghidap, tiba-tiba semua itu datang kepada kita? Ada di dalam diri kita? Itulah yang dirasai sebelum ini. Saya merupakan bekas pesakit barah tulang / kanser tulang / osteosarcoma dan itu fakta.

Mengimbau semula sejarah bagaimana semuanya bermula, seingat saya seawal 10 tahun saya telah mula mendengar bonda bercakap sesama makcik sebelah atau jiran sekampung berkaitan kanser. Dahulu, ia dikenali sebagai barah. Apabila ada kematian di sekitar kami, berita tersebut akan meniti dari mulut ke mulut..lebih-lebih lagi jika ianya adalah disebabkan oleh barah. Waima barah apa sekalipun, pasti akan menjadi buah mulut orang.

Stigma yang diletakkan bahawa barah itu pengakhirannya adalah kematian telah sebati dalam diri saya sebelum ini, tanpa saya sedar semua yang hidup juga pasti menemukan penamat yang sama. Mungkin kerana saya masih hingusan waktu itu. Saya merupakan anak yang boleh dikatakan sihat. Tidak ada masalah kesihatan yang serius, bahkan demam campak pun tak pernah kena. Azalinya saya mempunyai fizikal yang agak bulat namun cergas, lasak sepertimana kanak-kanak lain. 

Terdapat satu masa dalam hidup ini, saya merasa seperti telah dikurniakan sayap. Saya berjaya ke Sekolah Teknik selepas tamat PMR, dapat mempelajari sesuatu yang saya dah lama idamkan, Kejuruteraan Elektrik, dapat pula berada dekat dengan kakak (kami agak rapat seperti kembar siam) dan mempunyai kawan-kawan yang sporting habis! Sudah pasti keluarga bersedih kerana saya tidak pernah berenggang semenjak bersekolah, namun demi cita-cita, saya dilepaskan jua untuk terbang *__*

Sehinggalah suatu hari, tangan saya yang dipuji-puji oleh guru kerana keupayaan menggaris dengan lurus tanpa pembaris ini menggeletar. Saya seorang kidal. Awalnya tidaklah serius, sekadar gigil semasa memegang pensil namun lama-kelamaan kian ketara sehingga cikgu mula menegur apabila melihat kesukaran saya untuk memegang pensil tersebut. Berat hati tapi setelah didesak, saya akur. Cikgu, rakan dan kakak merancang untuk mendapatkan tarikh sesuai untuk membawa saya ke hospital.

Suatu malam, saya terjatuh dari katil di asrama. Entah apalah yang saya fikirkan waktu itu... akbatnya tangan yang menggeletar makin bertambah sakit. Kakak bersama warden asrama terus membawa saya ke hospital keesokkan harinya. Setelah doktor melakukan imbasan x-ray, saya dimaklumkan pergelangan tangan telah retak (mungkin akibat hentakan ke lantai) lantas tangan saya disimen. Bonda dan abah datang menjemput saya di asrama untuk mengabiskan cuti sakit di kampung.

Hari berganti hari, tangan saya makin berdenyut. Kesakitannya tak dapat lagi dibendung dengan ubat penahan sakit, saya meminta bonda membuka simen yang membalut keras tangan saya masa itu. Bonda yang kesian lalu membawa saya ke klinik berdekatan. Doktor yang melihat bengkak tangan saya mulai curiga dan terus menulis surat untuk dirujuk ke HUSM Kubang Kerian memandangkan kepakaran yang ada di sana waktu itu. Saya sekali lagi akur.

Dari situ, bermulalah episod duka dalam kamus hidup saya. Saya dikhabarkan bengkak tersebut mungkin mengandungi nanah dan darah namun hati kecil saya sukar untuk menerima. Masih jelas semasa saya dibawa masuk ke Klinik Ortopedik waktu itu. Ramai doktor mengerumuni dan saling berbincang seakan saya tidak langsung wujud di situ. Seorang demi seorang datang membelek tangan saya dengan muka berkerut. Bonda yang melihat reaksi mereka terus mengalirkan air mata. Saya tunduk kaku. Kepala ligat berputar. Mengulang dan cuba memahami semua percakapan tadi.

Mungkinkah saya dah kena kanser????? Mungkin kah??? Boleh jadi ke? Saya mula mencongak sendiri. Doktor memandang lembut ke arah bonda sambil tersenyum meminta agar saya dimasukkan ke wad pada hari tu juga. Mana mungkin...saya datang sehelai sepinggang...boleh lah ditangguh hingga saya bersedia kan doktor? Doktor menggeleng lagi. Segera. Secepat yang mungkin kita nak kenalpasti apa yang ada dalam tangan adik ni. Kepada bonda, doktor menerangkan satu persatu bahawa saya mungkin mengalami sejenis ketumbuhan. Apa yang harus disegerakan adalah prosedur biopsi bagi memastikan apakah jenis ketumbuhan tersebut sama ada pasif atau sebaliknya. Bonda menangis lagi.

Entah dari mana datangnya kekuatan itu, saya lantas meyakinkan bonda dan abah bahawa saya boleh tinggal di wad sementara mereka pulang untuk menguruskan apa yang patut. Saya dimaklumkan juga tempoh keberadaan saya di situ akan menjadi "agak" panjang. Saya senyum pahit. Di usia 16 tahun...(belum 16 sebenarnya....) saya hanya fikirkan alangkah ruginya tak dapat bersama rakan-rakan untuk  belajar dan masuk bengkel untuk wiring...

4 Utara. Wad khusus untuk pesakit berkaitan ortopedik (kecederaan mlibatkan tulang). Saya ditempatkan di situ, bersama pesakit yang lain..rata-ratanya dari pelbagai peringkat umur dan penyakit. Saya harus belajar menerima "dunia" baharu saya. Namun begitu, harapan untuk kembali memegang tukul dan sesiku T masih belum padam...saya optimis.

Akan datang, saya akan ceritakan bagaimana dan kenapakah saya tidak lagi berharap.

Royal Floria Putrajaya




Hai! Anda dah dapatkan tiket ke Floria? Tiket murah hanya sampai esok, 25hb saja ya...sempat lagi nak beli sebab dah gaji...Hihihi (gigih saya promote ni, MOTAC dan PPj tak bagi komisen ok!)

Sebenarnya, saya memang nak semua rakan-rakan tahu seiring dengan peredaran masa, teknologi yang digunakan pun canggih juga. Jadi, tak rugi untuk anda bawa anak-anak datang kerana hari anda akan terisi dengan aktiviti dari pagi hingga ke malam. Masjid Sultan Mizan pun dekat untuk solat :)

Bagi yang ada anak kecil, boleh juga dibawa ke sana untuk mandi /bersalin pakaian. Tempat makan juga disediakan di sekitar lokasi festival. Cuma pada kali ini, Putrajaya sudah ada IOI City Mall sebagai pilihan tambahan selain Alamanda, Galeria, Ayer@8 Promenade serta Taman Warisan Pertanian di Presint 16 :) 

Di bawah ini butiran ringkas FLORIA Diraja Putrajaya untuk anda!

*************************************************************************************
FLORIA Diraja Putrajaya akan membawa konsep percutian bersama keluarga ke suatu dimensi baharu menjangkaui imaginasi apabila komponen-komponen Taman Ajaib (Magical Gardens) membuka tirainya pada musim cuti sekolah iaitu mulai 27 Mei hingga 4 Jun 2016 di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya. 

Dengan menggunapakai teknologi terkini dari Eropah, Taman Ajaib (Magical Gardens) akan menampilkan satu pengalaman yang menakjubkan menerusi Hutan Mistik (Mystical Forest), Taman Kekwa (Chrysanthemum Garden), Dunia Duyung (Mermaid’s World) dan Laman Manisan (Candy Courtyard). Teknologi tersebut menghidangkan satu santapan bagi 5 deria sedia ada (lihat, dengar, rasa, hidu, sentuh) beserta perasaan. 

Bertemakan ‘Keajaiban Dunia Floria’, festival bunga dan taman terbesar di rantau ini menghidangkan Bunga Kekwa sebagai bunga tema dalam suasana taman yang direka khas buat tatapan para pengunjung. Antara komponen baru yang dijangka menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong asing pada tahun ini adalah pameran ‘The Magic of Bonsai & Suiseki’, Taman Muzika, dan pameran Terrarium ‘Tropical Magic In The Glass.’

*************************************************************************************

Monday 23 May 2016

Selamat Hari Guru Malaysia 2016 - Siri II


Ye...seperti yang dijanjikan, sambungan pada penulisan saya tentang Hari Guru 2016 yang saya dedikasikan khas buat semua warga pendidik yang amat mulia pekerjaannya di sisi Allah SWT. Saya sebenarnya amat mengkagumi profesion perguruan kerana ia merupakan sebuah kerjaya yang menuntut tahap kesabaran yang tinggi. Sudah tentu saya memahami karenah murid-murid yang pelbagai ragam kerana saya pun salah seorang murid satu masa dulu...

Betul, saya murid yang jatuh dalam kategori sederhana. Bukan. Bukan sederhana yang ke arah baik yang dimaksudkan di sini. Saya ialah murid yang "agak" sederhana. Entah apa dalam fikiran saya masa tu, asyik fikir nak bermain dan berkawan saja! Jadi saya selalu didenda, kena rotan, dimarahi tu agak biasa juga...paling teruk pun saya menangis tetapi seingat saya payah. Saya hanya akan tertunduk diam di depan guru...(itulah satu-satunya beza saya dan budak nakal sekarang kot?) 

Tahap garang guru-guru saya cuma 30% daripada bonda. Saya akan cuba sedaya upaya untuk elakkan bonda dapat tahu perihal saya ponteng kelas atau berborak di bilik darjah daripada cikgu-cikgu :) Bila dah masuk menengah, saya dah slow sikit...paling teruk cuma ikut kawan masuk parit keluar pagar sekolah beli keropok. Itupun tanpa dapat dikesan! Aduh..bila diingat balik, saya ke yang masuk parit panjat parit tu? Mmmm gitula gamaknya. Hakikat walau pahit kena telan juga.

Tamat UPSR, saya dihantar ke sekolah agama berdekatan...bonda "memaksa" kami adik-beradik untuk mengambil jurusan Arab Komunikasi...aduh...pening saya sampai sudahnya, keputusan Arab saya sekadar cukup-cukup makan sahaja semasa result PMR keluar (Waktu ni kesedaran belum ada). Habis sahaja tingkatan 3, saya memilih untuk menyambung ke Teknik dalam jurusan Elektrik...seronok waktu itu bila dapat apa yang dihajat.. Saya banyak mengikut jejak abang long di mana minat saya cenderung ke arah kejuruteraan.

Kita merancang, perancangan Allah jua yang terbaik. Tidak lama saya di sekolah Teknik, saya disahkan menghidap barah tulang...persekolahan saya tertunda selama setahun dengan kebenaran daripada KPM pada masa itu. Seingat saya, surat kebenaran itu ditandatangan oleh YAB PM kita sekarang yang memegang portfolio sebagai Menteri Pendidikan...:) Setelah tamat rawatan, keluarga mula mendorong saya untuk kembali ke sekolah namun hati saya langsung tidak berminat lagi...Saya cuma memikirkan untuk menghabiskan masa bersama keluarga di rumah.

Setelah dipujuk, saya kembali menyambung persekolahan di sekolah berdekatan. Masih segar di ingatan, abang long mendukung saya yang masih bertongkat dan memakai anduh pada masa itu untuk ke kelas di tingkat 2. Di sekolah menengah, saya mendapat sedikit sinar pengharapan...agak menjadi pula keputusan peperiksaan saya, sehingga ditawar untuk memasuki kelas sains namun saya menolak dengan alasan kurang berminat dengan add math. Hebatnya waktu itu, boleh main tolak-tolak ye? Saya dihantar ke kelas ekonomi dimana saya perlu untuk mengambil subjek perakaunan, perdagangan dan banyak lagi...pun tak minat tapi apa lagi pilihan yang saya ada...

Dalam tak minat, alhamdulillah rezeki sekali lagi memihak pada saya. Setelah mendapat keputusan SPM yang agak baik, saya ditawarkan untuk mengikuti matriks perakaunan. Namun dek kerana hati saya tidak terbuka untuk menerima bidang tersebut, saya mencuba nasib memohon jurusan lain. Berbagai jurusan dipohon termasuklah Perhutanan kerana saya fikir, dapatlah saya masuk UiTM Pahang yang jaraknya hanya 20km dari rumah. Sindrom nak duduk rumah agak tebal waktu ini. Haih...

Akhirnya, tak kesampaian hajat saya. Mana mungkin Allah tunaikan semua permintaan kita sedang Dia lebih tahu yang terbaik. Saya menyambung pelajaran di Kuala Lumpur dalam bidang Teknologi Maklumat sebelum menyambung ke Teknologi Pembuatan di UNIKL. Sekali lagi bersua dan bercinta dengan add math dan seangkatan dengannya. Nak lari sangat kan dulu...nah, ambik !@__@

Setelah tamat pengajian, saya ditawarkan untuk menyambung pengajian dan mengajar di kampus baharu di Johor namun dek kerana tiada kekuatan (baca: minat) saya menolak dan memilih untuk mencuba bidang lain...Cikgu Sejarah saya dulu pernah berpesan, yang mana memang saya pegang hingga sekarang...ucap beliau, jangan jadi cikgu. Lupa saya nak bertanya kenapa...lantas saya mengangguk patuh sahaja. 

Jadi, di sinilah saya sekarang. Di pejabat dan bukannya kelas atau kuliah...saya memilih untuk mendengar pesan cikgu saya untuk tidak menjadi seorang guru kerana saya hanya seorang wanita biasa, bukan seperti guru-guru hebat dan luarbiasa di luar sana. Saya bangga walaupun tidak menjadi seorang guru, saya dikeliling oleh ramai guru di sekeliling saya termasuklah jiran sebelah. Kira oklah tu kan... :)

Selamat Hari Guru. Saya sayang guru-guru saya!

Emosi Sejenis Saya


Ya. Emosi seorang wanita... Apabila Sindrom Pra Haid melanda (PMS), itulah yang terjadi. Saya akan menangis tanpa perlu sebarang sebab. Di awal perkahwinan dahulu, suami agak resah memikirkan kenapa saya tiba-tiba sahaja menangis...lagaknya seperti baru dihantar pulang ke asrama setelah menempuh cuti sekolah yang panjang....puas dipujuk si isteri, tak berkesan...

Jika ditanya mengapa saya menangis? Saya sendiri pun tak pasti. Saya pernah menangis tanpa sebarang dorongan (tv / buku / handphone) bahkan waktu itu tiada suami pun di sisi untuk saya merajuk/ marah...air mata tiba-tiba mengalir deras dan kemudian hati jadi teramat sayu....pilu...seperti lagu nyanyian Allahyarham Along Spoon...pilu sungguh! Terkadang malu juga...bila ada yang melintas dan ternampak mata saya bergenang air mata...tetapi kebanyakan masa, saya cuma buat tak tahu saja.

Jika keadaan begitu pun saya mampu, bayangkanlah situasi yang suami saya alami sewaktu kami sedang menonton drama atau mendengar lagu atau sedang baca buku...(macam susah sikit nak tgk saya baca buku) atau sedang layan video di FB...aduh...boleh meleleh hidung dibuatnya...syahdunya hampir serupa dengan perasaan saya pernah alami bila mana wajah bonda terlintas di mata sewaktu pertama kali menyambut Aidil Fitri bersama keluarga mertua *__* 


Hemat saya, ada waktunya dalam sebulan Allah kurniakan kita kaum Hawa, sejenis Eye Mo semulajadi untuk mencuci mata kita :) Jika tidak, masakan kita boleh menangis tanpa sebab. Kita bukanlah boleh buat-buat menangis macam pelakon tv...saya pernah cuba juga, memang tak jadi...Melainkan mata saya menerima cahaya berlebihan (silau), itu lainlah cerita.

Berbalik kepada emosi sejenis tadi, air mata tersebut datangnya secara pakej. Biasanya saya akan moody, banyak mendiamkan diri, agak pasif namun berselera makan. Waktu ini la saya akan reward diri sendiri dengan manisan seperti kek atau donut atau apa sahaja yang terlintas. Paling tidak, KitKat pun dah memadai. Terasa "bahagia" sekejap... Ini adalah perasan yang lain daripada biasa ya. Bukan maksudnya saya tidak gembira, cuma dalam tempoh tersebut, perasan bahagia mendapat KitKat itu berbeza dari hari-hari biasa lain...


Suami saya kini makin bijak mengawal keadaan.. Apabila beliau sedar saya agak kurang stabil pada hari tertentu, beliau akan cepat-cepat dapatkan sesuatu yang manis untuk saya serta layan isterinya ini dengan layanan "diRaja".. (bluek @__@ perasan tak sudah!) hehehehe...takdela terasa bagai Tuan Puteri pun, cuma kebanyakan masa, he'll be my sweet nice guy...saya maksudkan "super sweet" :)

Simptom ini biasanya akan berlalu dalam seminggu. Kadang agak teruk, kadang biasa-biasa je tapi kadang tak terasa pun! Cuma...nak cari yang tak terasa tu setahun sekali pun payah. Kepada kawan-kawan rapat, mereka amat memahami apabila melihat saya memegang tisu. Tiada lagi soklan cepumas seperti "Kau dah kenapa? Krisis?" Bagi yang baru ternampak saya dok lap hidung tu...maafkan saya ya...memang saya gagal dalam mengawal perkara yang satu ini. 

Satu saja yang saya nak katakan, tempoh PMS ni adalah satu fasa normal setiap bulan dalam hidup setiap wanita. Bergantung kepada sejauh mana "jauh" atau "dalam" nya perasaan itu tadi untuk kita bawa, setiap wanita sebenarnya sentiasa mencuba agar emosi PMS itu tidak terlalu ketara sehingga boleh menjejaskan atau memberikan kesan sampingan kepada insan sekeliling. 

Oh, penulis amat stabil semasa tulisan ini disiar ;) 

Sunday 22 May 2016

Avocado - Natural Butter


Topik kali ni sangat sedap! Avokado :)

Avokado merupakan buah kegemaran saya (ececeh...buah rambutan tak minat plak?) hihihi... Saya suka semua jenis buah terutamanya buahan tropika..jika nak dibuat rank, tempat pertama dah tentu Nenas (sebut saja pun dah melting~), kedua pula pisang...ketiga strawberi/mangga/delima (bergantung harga pasaran)...Alamak, bunyi mahal je kan...? Meh saya bagitau rahsianya kat sini...avokado cuma RM8/kg dan strawberi plak RM6/pek....jadi takdela melibatkan jumlah yang besar pun kan...melabur untuk sesuatu yang kita suka dan menyihatkan pula tu. Takde alasan ye ;)


Untuk mendapatkan avokado dengan harga yang saya cakapkan tadi, sila ke pasar Chow Kit. Suami saya biasanya akan membeli bekalan setiap 2 minggu sekali...sekilo dapat 3-4 biji...Di sana ada dijual buah ini dengan banyaknya yang didatangkan dari negara jiran kita, Indonesia. Jika anda ingin mencuba variasi lain...contohnya dari Australia atau Brazil, boleh dapatkan di pasaraya kerana hampir semua pasaraya ada menjual avokado. Buah ini akan masak apabila kulitnya bertukar kehitaman dan lembut. Oleh kerana teksturnya seakan butter, jadi anda boleh fikirkan sendiri kaedah masakan yang anda inginkan. Bagi saya, jus adalah cara yang paling mudah dan terbaik. Sedap...


Selain jus, saya suka letakkan buah ni di atas roti bakar. Ada dua cara yang biasa saya sediakan, satu adalah dengan hanya memotong buah tersebut dan ditabur dengan sedikit lada hitam dan garam seperti gambar di atas. Resepi kedua adalah seperti gambar di bawah. Dadu buah tomato dan avokado, gaulkan bersama garam dan serbuk lada hitam dan sedia untuk dimakan...boleh diletakkan di atas roti atau wrap. Hidangan ini boleh bertahan disimpan di dalam peti ais sehingga 3 hari bergantung kekedapan bekas yang digunakan. Jadi anda boleh sediakan lebih awal untuk sarapan/ lunch

Jika ditanya apa khasiatnya...saya sebagai penggemar cuma boleh bercerita dari aspek rasa. Boleh ke blog ini, Tips dan Panduan untuk membaca khasiat buah avokado ni...Ada juga pendapat menyatakan buah ini boleh menggemukkan kerana kandungan kalori dan lemaknya yang tinggi iaitu mencecah 30gm/sebiji. Tak mengapalah...bila dah suka, lemak pun kita tak nampak lagi dah... *___* (Hihihih) Apa yang saya maksudkan ialah makanlah secara bersederhana. Apa pun jua jika diambil secara berlebihan boleh mendatangkan mudarat.

Oleh kerana saya gemar makan dan juga menanam...setakat ini saya dah ada 3 anak pokok avokado di dalam pasu semaian di rumah saya ni. Bila dah makan, sayang nak dibuang bijinya...(saya suka menyemai hampir semua biji buah yang saya makan...) jadi secara tak langsung ia tumbuh...Pokok ini dikatakan mengambil masa agak lama untuk berbuah iaitu 10 - 15 tahun jadi sila jangan berharap untuk makan buah hasil dari pokok semaian saya tu dalam masa terdekat ni :D


Jumpa di entri yang lain ye...Thank you for dropping by!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...