Wednesday 8 June 2016

Lawatan Pertama Ke Rumah Pesakit Kanser


Pada minggu lepas, saya dipermudahkan niat untuk lebih meluangkan masa bersama golongan kurang bernasib baik. Tiba-tiba sahaja saya menerima panggilan telefon daripada salah satu NGO untuk mengajak saya ke sesi lawatan ke rumah pesakit kanser. Baru teringat bahawa saya pernah menawarkan diri sebagai sukarelawan tersebut tidak lama dahulu. Ini peluang saya, saya tak akan lepaskan.

Kebetulan, satu mesyuarat yang dijadualkan sebelumnya telah ditukarkan lokasi, dan saya tidak perlu lagi hadir. Justeru, saya meminta keizinan daripada majikan untuk menyertai lawatan tersebut. Saya bersama seorang rakan serta 3 orang jururawat hospital dengan menaiki kenderaan persatuan untuk ke rumah pesakit tersebut. Lokasinya adalah tidak jauh dari Putrajaya.

Apabila tiba, Encik P, suami kepada pesakit barah tahap 4 tersebut menyambut baik kehadiran kami. Wajahnya yang lembut tersenyum menyapa kami dengan ucapan selamat pagi. Kami kemudian dibawa masuk ke bilik untuk melihat keadaan isteri kesayangannya yang sedang terbaring lemah. Tutur suaranya amat perlahan dikhuatiri mengganggu lena si isteri. Dihulurkan satu bekas plastik yang di dalamnya terdapat bermacam-macam ubat apabila diminta oleh jururawat. 

Morfin? Balas jururawat. Encik P mengangguk perlahan. Saya bagi ubat ini untuk bagi dia kurang sakit, tuturnya. Ubat yang dibekalkan doktor mungkin dirasakan tidak memadai untuk meringankan kesakitan si isteri. Kami semua terdiam. Memang benar, letakkan kita di situasi si suami, hanya mahukan yang terbaik untuk keselesaan si isteri kerana saat itu, hanya itu yang mampu diberi.

Keadaan isterinya yang lemah dan tidak berselera makan agak meresahkan jururawat yang datang. Dipujuknya Encik P untuk membawa isterinya untuk tinggal di wad namun pilihan Mr. A adalah tetap dan tidak berubah, beliau memilih untuk menunaikan permintaan si isteri iaitu untuk tidak dihantar ke mana-mana hospital lagi. Jaga si isteri dikejutkan dengan mesin mengesan tekanan darah. matanya yang tertutup rapat mula terbuka. 

Beliau mula meracau dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana kekurangan oksigen. Encik P memegang kepala sambil mengusap lembut rambut isterinya. Kami jadi bertambah sayu. Bertuah sungguh dikurniakan suami sebaik itu yang setia hingga ke saat getir sebegitu. Sungguh Allah jua sebaik-baik perancang.  ~__~

Sesis lawatan berlangsung hampir setengah jam. Lawatan ini benar-benar bermakna dan memberi kesan pada saya. Ia memberi saya peluang untuk melihat kehidupan ini dari pelbagai sudut berbeza. Benar Allah akan menganugerahkan kepada kita pasangan yang terbaik. Mungkin pasangan kita itu tidak berharta, namun cukup besar jiwanya...Mungkin juga pasangan kita itu kurang romantis tapi cukup sekadar dia mampu meneman disisi di waktu getir kita.. Allahu'alam.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...