Malam-malam pun nak menulis...macam ni la kot semangat saya yang baru diperkenalkan dengan blog ni. Sebelum ni, diari pun tak ada, jadi bila ada blog ni seronok pula. Saya akan cuba manfaatkan blog ini dengan perkongsian yang menarik buat saya dan diharap cukup menarik untuk dibaca :)
Terima kasih saya ucapkan kepada rakan saya yang juga blogger, Wawa Syaida yang telah menjerumuskan saya ke dalam dunia blog ini. Jerumus mungkin kurang tepat untuk sesuatu perkara yang baik sebegini namun apa yang saya cuba sampaikan ialah saya amat berterima kepada beliau kerana berkongsi hobi yang saya kira cukup sesuai untuk saya yang kurang minat menulis ini. Orang kata, belakang parang jika diasah lagikan tajam inikan pula bakat menulis saya...hehehe
Saya pernah memasang niat semasa sedang mengarang esei Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memerlukan saya untuk menulis sekurang-kurangnya beberapa ratus patah perkataan dan beberapa helaian bahawa detik itu akan menjadi detik terakhir saya akan mengarang sebegitu rupa. Sungguh saya tidak minat dengan karangan bersifat berjela-jela sepertimana yang diwajibkan kepada kami pada masa itu. Perkara ini tidak terhenti di situ sahaja... Di kampus, tabiat kurang baik tersebut makin serius....Keengganan saya untuk membuat karangan yang berjela menyebabkan mutu tulisan tangan saya merosot berkadaran dengan panjang jawapan exam tersebut. Hal ini memaksa lecturer saya untuk memanggil saya ke bilik beliau bagi membacakan semula apa yang telah saya tulis sebelumnya...
Kusangka panas hingga ke petang, rupanya gerimis di tengah hari. Kini, salah satu dari kerja saya adalah mengarang minit, laporan, rumusan dan sebagainya lagi yang mana satu ketika dulu amat saya geruni. Mungkin ini ketentuan Allah kepada saya. Pesan orang tua-tua, jangan terlalu membenci, kelak bertukar sayang...nah! Sekarang saya tak rasa sayang pun cuma ketabahan diperlukan untuk menghadap semua itu. Mujur saya diberikan kekuatan dan dari kalangan insan yang tabah. Syukur padaMu Allah yang Maha Pengasih...
Persoalan yang bermain di benak saya, adakah saya lebih sesuai untuk menjadi seorang doktor? Kerana kebiasaannya ahli farmasi dan jururawat sahaja yang faham apa yang ditulis oleh seorang doktor...begitulah yang berlaku pada insan di sekeliling saya...
Hingga berjumpa lagi di entri yang lain. Terima kasih kerana sudi membaca!
0 comments:
Post a Comment