The Author



Si Penulis merupakan anak ketiga daripada lapan adik-beradik. Dilahirkan pada 1 Ramadhan di di sebelah Pantai Timur Malaysia. Diasuh oleh Allahyarhamah Kelesom Salleh, nenda tersayang sehingga habis tadika dan dikembalikan kepada bonda seawal tujuh tahun untuk meneruskan pelajaran. Limpahan kasih sayang yang dicurahkan oleh kedua-dua insan ini amat mendalam dan penulis percaya memberikan impak terhadap corak kehidupan dan perangai penulis sehingga kini. 

Penulis merupakan seorang bekas penghidap kanser yang optimis. Juga merupakan seorang surirumah berkerjaya kepada seorang suami yang baik hati. Merasakan hidup adalah singkat dan waktu tidak harus dipersiakan untuk perkara remeh. Dibesarkan di dalam keluarga serba sederhana dan ramai adik-beradik, penulis pernah menempuhi detik kesusahan dan juga menikmati kesenangan sepanjang lebih 3 dekad ini. Sentiasa diajar untuk berdikari dan lasak sedari kecil serta tidak cerewet terutama dalam memilih makanan. Penulis merupakan satu-satunya anak yang kidal di dalam keluarga yang diwarisi daripada pakcik penulis di sebelah bonda. Pernah bersekolah di beberapa lokasi sebelum ke menara gading atas doa nenda bonda.

Apabila ditanya apakah hobi...penulis akan merenung panjang. Boleh dikatakan penulis berminat dengan semua perkara yang berada di antara langit dan bumi. Penulis suka melukis semasa kanak-kanak dan pernah menerima saguhati dalam pertandingan anjuran sekolah. Bakat melukis tidak diasah lagi apabila menerima teguran bahawa melukis potret adalah tidak baik disisi agama (betul ke..?). Penulis juga mahir dalam permainan kampung seperti galah panjang dan baling selipar dan tidak dilupakan, melastik burung! (Dulu keinsafan kepada penganiayaan binatang agak kurang).

Selari dengan usia, apabila menginjak remaja, penulis suka mengarang cerpen ringkas (namun satu pun tidak pernah diposkan untuk penerbitan majalah). Corak lukisan pula cenderung kepada alam semulajadi dan teknik wet in wet menjadi pilihan penulis pada masa tu. Setelah melanjutkan pelajaran, fotografi menjadi pilihan disamping outdoor activities. Paling tinggi yagn pernah didaki rasanya hanyalah Gunung Ledang dan semuanya berkubur setelah memasuki alam pekerjaan.

Kerjaya penulis bemula sebagai pembantu guru tadika di sebuah tadika swasta di Kuala Lumpur sejurus amat SPM. Penulis agak seronok dengan kerjaya baru dimana dikehendaki menghafal lagu kanak-kanak dalam pelbagai Bahasa! (Ada di antara lagu tersebut penulis masih boleh nyanyikan hingga sekarang) Kemudian, penulis menjadi cashier di sebuah pasaraya kecil di kampung sebelum bertukar ke sebuah syarikat pembekalan alat tulis sebagai kerani. Selepas itu, penulis ditawar kontrak di salah sebuah jabatan Kerajaan hinggalah dilantik sebagai pekerja tetap beberapa tahun selepas itu.

- Tamat - 


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...