Tuesday, 17 May 2016

Selamat Hari Guru Malaysia 2016



Assalamualaikum, Salam Sejahtera...

Entri kali ini saya dedikasikan khas buat semua warga pendidik. Saya amat bertuah memiliki sebegitu ramai guru memandangkan kekerapan bertukar sekolah satu masa dahulu. Saya sendiri datangnya dari keluarga yang berlatar belakangkan pendidik. Allahyarham abah saya merupakan seorang guru agama semasa hayatnya dan memiliki ramai anak murid. Justeru itu, rumah kami agak kerap didatangi oleh bekasan pelajar arwah. Ada yang datang ziarah bertanyakan khabar, ada juga yang datang bertanyakan tentang sesuatu...saya tidak jelas sangat kerana masih berada di sekolah rendah waktu itu.

Arwah abah merupakan guru yang garang dan tegas. Dek ketegasan itu, kami adik-beradik belajar mengaji di rumah mengaji yang lain. Kami gembira kerana bukan sahaja tok guru tersebut baik malahan ada geng untuk bermain selepas habis kelas. Saya masih ingat dirotan semasa mengaji kerana tanpa disedari rupanya saya tertidur! Penat seharian di sekolah, kemudian dihidang pula masakan sedap oleh maa yakni bonda saya...hasilnya tersengguk saya di dalam kelas mengaji :)

Terdapat beberapa nama guru yang amat terkesan dan terpahat dalam hati saya. Saya ingin menyelusuri satu-persatu kisah guru-guru istimewa ini dan bagaimana mereka semua meninggalkan kesan mendalam dalam lipatan hidup saya. Guru pertama ialah cikgu tadika saya...ah, dah lupa saya namanya! Beliau bukanlah orang asing, beliau merupakan kawan bonda saya sendri. Orangnya bertahi lalat di atas bibir dan lemah lembut. Lembut adalah sebab membenarkan saya menghisap puting yang bonda gantungkan khas pada rantai di leher saya pada masa itu...hihihi

Insan kedua yang istimewa ialah Allahyarham Cikgu Zahari, guru BM semasa saya di darjah 2. Beliau telah mengajar kami cara menulis huruf secara bersambung yang cantik dan kemas! Dari situ saya mula belajar bahawa semua huruf tersebut boleh dihubungkan dan menjadi lebih cantik sebegitu. Jika Allahyarham masih ada, beliau pastu bangga kerana anak muridnya ini memang mengunakan sepenuhnya ilmu yang diajarkan dahulu... Saya beruntung masih berkesempatan menerima ilmu sedemikian yang saya fikir tidak lagi diajarkan kepada murid-murid kini.

Cikgu Roslina, secantik nama dan semanis tuan empunya badan. Allahyarhamah merupakan guru kelas dan juga kakak kepada rakan sekelas saya semasa di darjah 3. Orangnya manis namun tegas. Jari-jemari gebu (gebu ke?) saya ini pernah merasa dihinggap pembaris kayu panjang berwarna kuning gara-gara terlupa memotong kuku. (Keluarga saya tidak membenarkan kami adik-beradik menyimpan/ membiarkan kuku panjang tanpa dikemaskan) Menangis hati saya...nak menangis secara fizikal takut makin dimarahi oleh cikgu. Beliau kemudiannya dikhabarkan menghidap sejenis penyakit dan meninggal semasa saya berada di universiti.

Semasa di sekolah rendah, saya mengenali Cikgu Rahim. Beliau merupakan guru perpustakaan pada masa itu. Memandangkan hobi abang long diperturunkan kepada kami, jadi perpustakaan itu merupakan pilihan ketiga menarik selepas acara sukan dan permainan kampung lain. Seingat saya, buku National Georaphic amat digemari saya pada masa itu disamping kisah-kisah dongeng rakyat. Saya mampu berada di sana berjam-jam menghayati keindahan dunia melalui buku...hasilnya lahirlah saya yang kuat berangan! Oh ya, saya dilantik sebagai pengawas perpustakaan gara-gara kerap ke sana yang membolehkan saya meminjam buku-buku dengan lebih kerap dan lama.

Seterusnya, insan yang banyak mempengaruhi saya ialah Sir Han Tong Kwang, seorang guru BI yang tegas namun lucu dengan dialek Cina - Kelantan beliau. Saya pernah disuruh untuk menyertai syarahan dan masih jelas di ingatan saya, suasana semasa menjalani latihan syarahan di kantin sekolah. Saya dengan penuh yakin dan lantang membaca teks sambil menyebut "in-clu-ding" dan serta-merta sebelum sempat saya menghabiskan ayat, pembaris telah hinggap di bahu saya. Entah dari mana datangnya pembaris tu! Sampai sekarang saya terfikir...Namun begitu, beliau saya kira amat menyayangi saya apabila saya dihadiahkan dengan sebuah kamus kesayangan beliau yang sangat uzur keadaannya (yang masih saya simpan hingga kini) setelah selesai sesi syarahan tersebut.

Agak panjang tulisan saya kali ini, terima kasih di atas kegigihan membaca. Saya akan menyambung kembali esok jika diizinkanNya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...