Wednesday, 8 June 2016

Lawatan Pertama Ke Rumah Pesakit Kanser


Pada minggu lepas, saya dipermudahkan niat untuk lebih meluangkan masa bersama golongan kurang bernasib baik. Tiba-tiba sahaja saya menerima panggilan telefon daripada salah satu NGO untuk mengajak saya ke sesi lawatan ke rumah pesakit kanser. Baru teringat bahawa saya pernah menawarkan diri sebagai sukarelawan tersebut tidak lama dahulu. Ini peluang saya, saya tak akan lepaskan.

Kebetulan, satu mesyuarat yang dijadualkan sebelumnya telah ditukarkan lokasi, dan saya tidak perlu lagi hadir. Justeru, saya meminta keizinan daripada majikan untuk menyertai lawatan tersebut. Saya bersama seorang rakan serta 3 orang jururawat hospital dengan menaiki kenderaan persatuan untuk ke rumah pesakit tersebut. Lokasinya adalah tidak jauh dari Putrajaya.

Apabila tiba, Encik P, suami kepada pesakit barah tahap 4 tersebut menyambut baik kehadiran kami. Wajahnya yang lembut tersenyum menyapa kami dengan ucapan selamat pagi. Kami kemudian dibawa masuk ke bilik untuk melihat keadaan isteri kesayangannya yang sedang terbaring lemah. Tutur suaranya amat perlahan dikhuatiri mengganggu lena si isteri. Dihulurkan satu bekas plastik yang di dalamnya terdapat bermacam-macam ubat apabila diminta oleh jururawat. 

Morfin? Balas jururawat. Encik P mengangguk perlahan. Saya bagi ubat ini untuk bagi dia kurang sakit, tuturnya. Ubat yang dibekalkan doktor mungkin dirasakan tidak memadai untuk meringankan kesakitan si isteri. Kami semua terdiam. Memang benar, letakkan kita di situasi si suami, hanya mahukan yang terbaik untuk keselesaan si isteri kerana saat itu, hanya itu yang mampu diberi.

Keadaan isterinya yang lemah dan tidak berselera makan agak meresahkan jururawat yang datang. Dipujuknya Encik P untuk membawa isterinya untuk tinggal di wad namun pilihan Mr. A adalah tetap dan tidak berubah, beliau memilih untuk menunaikan permintaan si isteri iaitu untuk tidak dihantar ke mana-mana hospital lagi. Jaga si isteri dikejutkan dengan mesin mengesan tekanan darah. matanya yang tertutup rapat mula terbuka. 

Beliau mula meracau dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana kekurangan oksigen. Encik P memegang kepala sambil mengusap lembut rambut isterinya. Kami jadi bertambah sayu. Bertuah sungguh dikurniakan suami sebaik itu yang setia hingga ke saat getir sebegitu. Sungguh Allah jua sebaik-baik perancang.  ~__~

Sesis lawatan berlangsung hampir setengah jam. Lawatan ini benar-benar bermakna dan memberi kesan pada saya. Ia memberi saya peluang untuk melihat kehidupan ini dari pelbagai sudut berbeza. Benar Allah akan menganugerahkan kepada kita pasangan yang terbaik. Mungkin pasangan kita itu tidak berharta, namun cukup besar jiwanya...Mungkin juga pasangan kita itu kurang romantis tapi cukup sekadar dia mampu meneman disisi di waktu getir kita.. Allahu'alam.

Tuesday, 24 May 2016

Barah Tulang / Bone Cancer (Osteosarcoma) - Part 1


Siapa yang pernah terfikir dirinya akan menghidap salah satu penyakit yang paling digeruni semua...Daripada hanya mendengar cerita demi cerita, melihat kesedihan yang menyelubung mereka dan merasa kasihan terhadap si penghidap, tiba-tiba semua itu datang kepada kita? Ada di dalam diri kita? Itulah yang dirasai sebelum ini. Saya merupakan bekas pesakit barah tulang / kanser tulang / osteosarcoma dan itu fakta.

Mengimbau semula sejarah bagaimana semuanya bermula, seingat saya seawal 10 tahun saya telah mula mendengar bonda bercakap sesama makcik sebelah atau jiran sekampung berkaitan kanser. Dahulu, ia dikenali sebagai barah. Apabila ada kematian di sekitar kami, berita tersebut akan meniti dari mulut ke mulut..lebih-lebih lagi jika ianya adalah disebabkan oleh barah. Waima barah apa sekalipun, pasti akan menjadi buah mulut orang.

Stigma yang diletakkan bahawa barah itu pengakhirannya adalah kematian telah sebati dalam diri saya sebelum ini, tanpa saya sedar semua yang hidup juga pasti menemukan penamat yang sama. Mungkin kerana saya masih hingusan waktu itu. Saya merupakan anak yang boleh dikatakan sihat. Tidak ada masalah kesihatan yang serius, bahkan demam campak pun tak pernah kena. Azalinya saya mempunyai fizikal yang agak bulat namun cergas, lasak sepertimana kanak-kanak lain. 

Terdapat satu masa dalam hidup ini, saya merasa seperti telah dikurniakan sayap. Saya berjaya ke Sekolah Teknik selepas tamat PMR, dapat mempelajari sesuatu yang saya dah lama idamkan, Kejuruteraan Elektrik, dapat pula berada dekat dengan kakak (kami agak rapat seperti kembar siam) dan mempunyai kawan-kawan yang sporting habis! Sudah pasti keluarga bersedih kerana saya tidak pernah berenggang semenjak bersekolah, namun demi cita-cita, saya dilepaskan jua untuk terbang *__*

Sehinggalah suatu hari, tangan saya yang dipuji-puji oleh guru kerana keupayaan menggaris dengan lurus tanpa pembaris ini menggeletar. Saya seorang kidal. Awalnya tidaklah serius, sekadar gigil semasa memegang pensil namun lama-kelamaan kian ketara sehingga cikgu mula menegur apabila melihat kesukaran saya untuk memegang pensil tersebut. Berat hati tapi setelah didesak, saya akur. Cikgu, rakan dan kakak merancang untuk mendapatkan tarikh sesuai untuk membawa saya ke hospital.

Suatu malam, saya terjatuh dari katil di asrama. Entah apalah yang saya fikirkan waktu itu... akbatnya tangan yang menggeletar makin bertambah sakit. Kakak bersama warden asrama terus membawa saya ke hospital keesokkan harinya. Setelah doktor melakukan imbasan x-ray, saya dimaklumkan pergelangan tangan telah retak (mungkin akibat hentakan ke lantai) lantas tangan saya disimen. Bonda dan abah datang menjemput saya di asrama untuk mengabiskan cuti sakit di kampung.

Hari berganti hari, tangan saya makin berdenyut. Kesakitannya tak dapat lagi dibendung dengan ubat penahan sakit, saya meminta bonda membuka simen yang membalut keras tangan saya masa itu. Bonda yang kesian lalu membawa saya ke klinik berdekatan. Doktor yang melihat bengkak tangan saya mulai curiga dan terus menulis surat untuk dirujuk ke HUSM Kubang Kerian memandangkan kepakaran yang ada di sana waktu itu. Saya sekali lagi akur.

Dari situ, bermulalah episod duka dalam kamus hidup saya. Saya dikhabarkan bengkak tersebut mungkin mengandungi nanah dan darah namun hati kecil saya sukar untuk menerima. Masih jelas semasa saya dibawa masuk ke Klinik Ortopedik waktu itu. Ramai doktor mengerumuni dan saling berbincang seakan saya tidak langsung wujud di situ. Seorang demi seorang datang membelek tangan saya dengan muka berkerut. Bonda yang melihat reaksi mereka terus mengalirkan air mata. Saya tunduk kaku. Kepala ligat berputar. Mengulang dan cuba memahami semua percakapan tadi.

Mungkinkah saya dah kena kanser????? Mungkin kah??? Boleh jadi ke? Saya mula mencongak sendiri. Doktor memandang lembut ke arah bonda sambil tersenyum meminta agar saya dimasukkan ke wad pada hari tu juga. Mana mungkin...saya datang sehelai sepinggang...boleh lah ditangguh hingga saya bersedia kan doktor? Doktor menggeleng lagi. Segera. Secepat yang mungkin kita nak kenalpasti apa yang ada dalam tangan adik ni. Kepada bonda, doktor menerangkan satu persatu bahawa saya mungkin mengalami sejenis ketumbuhan. Apa yang harus disegerakan adalah prosedur biopsi bagi memastikan apakah jenis ketumbuhan tersebut sama ada pasif atau sebaliknya. Bonda menangis lagi.

Entah dari mana datangnya kekuatan itu, saya lantas meyakinkan bonda dan abah bahawa saya boleh tinggal di wad sementara mereka pulang untuk menguruskan apa yang patut. Saya dimaklumkan juga tempoh keberadaan saya di situ akan menjadi "agak" panjang. Saya senyum pahit. Di usia 16 tahun...(belum 16 sebenarnya....) saya hanya fikirkan alangkah ruginya tak dapat bersama rakan-rakan untuk  belajar dan masuk bengkel untuk wiring...

4 Utara. Wad khusus untuk pesakit berkaitan ortopedik (kecederaan mlibatkan tulang). Saya ditempatkan di situ, bersama pesakit yang lain..rata-ratanya dari pelbagai peringkat umur dan penyakit. Saya harus belajar menerima "dunia" baharu saya. Namun begitu, harapan untuk kembali memegang tukul dan sesiku T masih belum padam...saya optimis.

Akan datang, saya akan ceritakan bagaimana dan kenapakah saya tidak lagi berharap.

Royal Floria Putrajaya




Hai! Anda dah dapatkan tiket ke Floria? Tiket murah hanya sampai esok, 25hb saja ya...sempat lagi nak beli sebab dah gaji...Hihihi (gigih saya promote ni, MOTAC dan PPj tak bagi komisen ok!)

Sebenarnya, saya memang nak semua rakan-rakan tahu seiring dengan peredaran masa, teknologi yang digunakan pun canggih juga. Jadi, tak rugi untuk anda bawa anak-anak datang kerana hari anda akan terisi dengan aktiviti dari pagi hingga ke malam. Masjid Sultan Mizan pun dekat untuk solat :)

Bagi yang ada anak kecil, boleh juga dibawa ke sana untuk mandi /bersalin pakaian. Tempat makan juga disediakan di sekitar lokasi festival. Cuma pada kali ini, Putrajaya sudah ada IOI City Mall sebagai pilihan tambahan selain Alamanda, Galeria, Ayer@8 Promenade serta Taman Warisan Pertanian di Presint 16 :) 

Di bawah ini butiran ringkas FLORIA Diraja Putrajaya untuk anda!

*************************************************************************************
FLORIA Diraja Putrajaya akan membawa konsep percutian bersama keluarga ke suatu dimensi baharu menjangkaui imaginasi apabila komponen-komponen Taman Ajaib (Magical Gardens) membuka tirainya pada musim cuti sekolah iaitu mulai 27 Mei hingga 4 Jun 2016 di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya. 

Dengan menggunapakai teknologi terkini dari Eropah, Taman Ajaib (Magical Gardens) akan menampilkan satu pengalaman yang menakjubkan menerusi Hutan Mistik (Mystical Forest), Taman Kekwa (Chrysanthemum Garden), Dunia Duyung (Mermaid’s World) dan Laman Manisan (Candy Courtyard). Teknologi tersebut menghidangkan satu santapan bagi 5 deria sedia ada (lihat, dengar, rasa, hidu, sentuh) beserta perasaan. 

Bertemakan ‘Keajaiban Dunia Floria’, festival bunga dan taman terbesar di rantau ini menghidangkan Bunga Kekwa sebagai bunga tema dalam suasana taman yang direka khas buat tatapan para pengunjung. Antara komponen baru yang dijangka menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong asing pada tahun ini adalah pameran ‘The Magic of Bonsai & Suiseki’, Taman Muzika, dan pameran Terrarium ‘Tropical Magic In The Glass.’

*************************************************************************************

Monday, 23 May 2016

Selamat Hari Guru Malaysia 2016 - Siri II


Ye...seperti yang dijanjikan, sambungan pada penulisan saya tentang Hari Guru 2016 yang saya dedikasikan khas buat semua warga pendidik yang amat mulia pekerjaannya di sisi Allah SWT. Saya sebenarnya amat mengkagumi profesion perguruan kerana ia merupakan sebuah kerjaya yang menuntut tahap kesabaran yang tinggi. Sudah tentu saya memahami karenah murid-murid yang pelbagai ragam kerana saya pun salah seorang murid satu masa dulu...

Betul, saya murid yang jatuh dalam kategori sederhana. Bukan. Bukan sederhana yang ke arah baik yang dimaksudkan di sini. Saya ialah murid yang "agak" sederhana. Entah apa dalam fikiran saya masa tu, asyik fikir nak bermain dan berkawan saja! Jadi saya selalu didenda, kena rotan, dimarahi tu agak biasa juga...paling teruk pun saya menangis tetapi seingat saya payah. Saya hanya akan tertunduk diam di depan guru...(itulah satu-satunya beza saya dan budak nakal sekarang kot?) 

Tahap garang guru-guru saya cuma 30% daripada bonda. Saya akan cuba sedaya upaya untuk elakkan bonda dapat tahu perihal saya ponteng kelas atau berborak di bilik darjah daripada cikgu-cikgu :) Bila dah masuk menengah, saya dah slow sikit...paling teruk cuma ikut kawan masuk parit keluar pagar sekolah beli keropok. Itupun tanpa dapat dikesan! Aduh..bila diingat balik, saya ke yang masuk parit panjat parit tu? Mmmm gitula gamaknya. Hakikat walau pahit kena telan juga.

Tamat UPSR, saya dihantar ke sekolah agama berdekatan...bonda "memaksa" kami adik-beradik untuk mengambil jurusan Arab Komunikasi...aduh...pening saya sampai sudahnya, keputusan Arab saya sekadar cukup-cukup makan sahaja semasa result PMR keluar (Waktu ni kesedaran belum ada). Habis sahaja tingkatan 3, saya memilih untuk menyambung ke Teknik dalam jurusan Elektrik...seronok waktu itu bila dapat apa yang dihajat.. Saya banyak mengikut jejak abang long di mana minat saya cenderung ke arah kejuruteraan.

Kita merancang, perancangan Allah jua yang terbaik. Tidak lama saya di sekolah Teknik, saya disahkan menghidap barah tulang...persekolahan saya tertunda selama setahun dengan kebenaran daripada KPM pada masa itu. Seingat saya, surat kebenaran itu ditandatangan oleh YAB PM kita sekarang yang memegang portfolio sebagai Menteri Pendidikan...:) Setelah tamat rawatan, keluarga mula mendorong saya untuk kembali ke sekolah namun hati saya langsung tidak berminat lagi...Saya cuma memikirkan untuk menghabiskan masa bersama keluarga di rumah.

Setelah dipujuk, saya kembali menyambung persekolahan di sekolah berdekatan. Masih segar di ingatan, abang long mendukung saya yang masih bertongkat dan memakai anduh pada masa itu untuk ke kelas di tingkat 2. Di sekolah menengah, saya mendapat sedikit sinar pengharapan...agak menjadi pula keputusan peperiksaan saya, sehingga ditawar untuk memasuki kelas sains namun saya menolak dengan alasan kurang berminat dengan add math. Hebatnya waktu itu, boleh main tolak-tolak ye? Saya dihantar ke kelas ekonomi dimana saya perlu untuk mengambil subjek perakaunan, perdagangan dan banyak lagi...pun tak minat tapi apa lagi pilihan yang saya ada...

Dalam tak minat, alhamdulillah rezeki sekali lagi memihak pada saya. Setelah mendapat keputusan SPM yang agak baik, saya ditawarkan untuk mengikuti matriks perakaunan. Namun dek kerana hati saya tidak terbuka untuk menerima bidang tersebut, saya mencuba nasib memohon jurusan lain. Berbagai jurusan dipohon termasuklah Perhutanan kerana saya fikir, dapatlah saya masuk UiTM Pahang yang jaraknya hanya 20km dari rumah. Sindrom nak duduk rumah agak tebal waktu ini. Haih...

Akhirnya, tak kesampaian hajat saya. Mana mungkin Allah tunaikan semua permintaan kita sedang Dia lebih tahu yang terbaik. Saya menyambung pelajaran di Kuala Lumpur dalam bidang Teknologi Maklumat sebelum menyambung ke Teknologi Pembuatan di UNIKL. Sekali lagi bersua dan bercinta dengan add math dan seangkatan dengannya. Nak lari sangat kan dulu...nah, ambik !@__@

Setelah tamat pengajian, saya ditawarkan untuk menyambung pengajian dan mengajar di kampus baharu di Johor namun dek kerana tiada kekuatan (baca: minat) saya menolak dan memilih untuk mencuba bidang lain...Cikgu Sejarah saya dulu pernah berpesan, yang mana memang saya pegang hingga sekarang...ucap beliau, jangan jadi cikgu. Lupa saya nak bertanya kenapa...lantas saya mengangguk patuh sahaja. 

Jadi, di sinilah saya sekarang. Di pejabat dan bukannya kelas atau kuliah...saya memilih untuk mendengar pesan cikgu saya untuk tidak menjadi seorang guru kerana saya hanya seorang wanita biasa, bukan seperti guru-guru hebat dan luarbiasa di luar sana. Saya bangga walaupun tidak menjadi seorang guru, saya dikeliling oleh ramai guru di sekeliling saya termasuklah jiran sebelah. Kira oklah tu kan... :)

Selamat Hari Guru. Saya sayang guru-guru saya!

Emosi Sejenis Saya


Ya. Emosi seorang wanita... Apabila Sindrom Pra Haid melanda (PMS), itulah yang terjadi. Saya akan menangis tanpa perlu sebarang sebab. Di awal perkahwinan dahulu, suami agak resah memikirkan kenapa saya tiba-tiba sahaja menangis...lagaknya seperti baru dihantar pulang ke asrama setelah menempuh cuti sekolah yang panjang....puas dipujuk si isteri, tak berkesan...

Jika ditanya mengapa saya menangis? Saya sendiri pun tak pasti. Saya pernah menangis tanpa sebarang dorongan (tv / buku / handphone) bahkan waktu itu tiada suami pun di sisi untuk saya merajuk/ marah...air mata tiba-tiba mengalir deras dan kemudian hati jadi teramat sayu....pilu...seperti lagu nyanyian Allahyarham Along Spoon...pilu sungguh! Terkadang malu juga...bila ada yang melintas dan ternampak mata saya bergenang air mata...tetapi kebanyakan masa, saya cuma buat tak tahu saja.

Jika keadaan begitu pun saya mampu, bayangkanlah situasi yang suami saya alami sewaktu kami sedang menonton drama atau mendengar lagu atau sedang baca buku...(macam susah sikit nak tgk saya baca buku) atau sedang layan video di FB...aduh...boleh meleleh hidung dibuatnya...syahdunya hampir serupa dengan perasaan saya pernah alami bila mana wajah bonda terlintas di mata sewaktu pertama kali menyambut Aidil Fitri bersama keluarga mertua *__* 


Hemat saya, ada waktunya dalam sebulan Allah kurniakan kita kaum Hawa, sejenis Eye Mo semulajadi untuk mencuci mata kita :) Jika tidak, masakan kita boleh menangis tanpa sebab. Kita bukanlah boleh buat-buat menangis macam pelakon tv...saya pernah cuba juga, memang tak jadi...Melainkan mata saya menerima cahaya berlebihan (silau), itu lainlah cerita.

Berbalik kepada emosi sejenis tadi, air mata tersebut datangnya secara pakej. Biasanya saya akan moody, banyak mendiamkan diri, agak pasif namun berselera makan. Waktu ini la saya akan reward diri sendiri dengan manisan seperti kek atau donut atau apa sahaja yang terlintas. Paling tidak, KitKat pun dah memadai. Terasa "bahagia" sekejap... Ini adalah perasan yang lain daripada biasa ya. Bukan maksudnya saya tidak gembira, cuma dalam tempoh tersebut, perasan bahagia mendapat KitKat itu berbeza dari hari-hari biasa lain...


Suami saya kini makin bijak mengawal keadaan.. Apabila beliau sedar saya agak kurang stabil pada hari tertentu, beliau akan cepat-cepat dapatkan sesuatu yang manis untuk saya serta layan isterinya ini dengan layanan "diRaja".. (bluek @__@ perasan tak sudah!) hehehehe...takdela terasa bagai Tuan Puteri pun, cuma kebanyakan masa, he'll be my sweet nice guy...saya maksudkan "super sweet" :)

Simptom ini biasanya akan berlalu dalam seminggu. Kadang agak teruk, kadang biasa-biasa je tapi kadang tak terasa pun! Cuma...nak cari yang tak terasa tu setahun sekali pun payah. Kepada kawan-kawan rapat, mereka amat memahami apabila melihat saya memegang tisu. Tiada lagi soklan cepumas seperti "Kau dah kenapa? Krisis?" Bagi yang baru ternampak saya dok lap hidung tu...maafkan saya ya...memang saya gagal dalam mengawal perkara yang satu ini. 

Satu saja yang saya nak katakan, tempoh PMS ni adalah satu fasa normal setiap bulan dalam hidup setiap wanita. Bergantung kepada sejauh mana "jauh" atau "dalam" nya perasaan itu tadi untuk kita bawa, setiap wanita sebenarnya sentiasa mencuba agar emosi PMS itu tidak terlalu ketara sehingga boleh menjejaskan atau memberikan kesan sampingan kepada insan sekeliling. 

Oh, penulis amat stabil semasa tulisan ini disiar ;) 

Sunday, 22 May 2016

Avocado - Natural Butter


Topik kali ni sangat sedap! Avokado :)

Avokado merupakan buah kegemaran saya (ececeh...buah rambutan tak minat plak?) hihihi... Saya suka semua jenis buah terutamanya buahan tropika..jika nak dibuat rank, tempat pertama dah tentu Nenas (sebut saja pun dah melting~), kedua pula pisang...ketiga strawberi/mangga/delima (bergantung harga pasaran)...Alamak, bunyi mahal je kan...? Meh saya bagitau rahsianya kat sini...avokado cuma RM8/kg dan strawberi plak RM6/pek....jadi takdela melibatkan jumlah yang besar pun kan...melabur untuk sesuatu yang kita suka dan menyihatkan pula tu. Takde alasan ye ;)


Untuk mendapatkan avokado dengan harga yang saya cakapkan tadi, sila ke pasar Chow Kit. Suami saya biasanya akan membeli bekalan setiap 2 minggu sekali...sekilo dapat 3-4 biji...Di sana ada dijual buah ini dengan banyaknya yang didatangkan dari negara jiran kita, Indonesia. Jika anda ingin mencuba variasi lain...contohnya dari Australia atau Brazil, boleh dapatkan di pasaraya kerana hampir semua pasaraya ada menjual avokado. Buah ini akan masak apabila kulitnya bertukar kehitaman dan lembut. Oleh kerana teksturnya seakan butter, jadi anda boleh fikirkan sendiri kaedah masakan yang anda inginkan. Bagi saya, jus adalah cara yang paling mudah dan terbaik. Sedap...


Selain jus, saya suka letakkan buah ni di atas roti bakar. Ada dua cara yang biasa saya sediakan, satu adalah dengan hanya memotong buah tersebut dan ditabur dengan sedikit lada hitam dan garam seperti gambar di atas. Resepi kedua adalah seperti gambar di bawah. Dadu buah tomato dan avokado, gaulkan bersama garam dan serbuk lada hitam dan sedia untuk dimakan...boleh diletakkan di atas roti atau wrap. Hidangan ini boleh bertahan disimpan di dalam peti ais sehingga 3 hari bergantung kekedapan bekas yang digunakan. Jadi anda boleh sediakan lebih awal untuk sarapan/ lunch

Jika ditanya apa khasiatnya...saya sebagai penggemar cuma boleh bercerita dari aspek rasa. Boleh ke blog ini, Tips dan Panduan untuk membaca khasiat buah avokado ni...Ada juga pendapat menyatakan buah ini boleh menggemukkan kerana kandungan kalori dan lemaknya yang tinggi iaitu mencecah 30gm/sebiji. Tak mengapalah...bila dah suka, lemak pun kita tak nampak lagi dah... *___* (Hihihih) Apa yang saya maksudkan ialah makanlah secara bersederhana. Apa pun jua jika diambil secara berlebihan boleh mendatangkan mudarat.

Oleh kerana saya gemar makan dan juga menanam...setakat ini saya dah ada 3 anak pokok avokado di dalam pasu semaian di rumah saya ni. Bila dah makan, sayang nak dibuang bijinya...(saya suka menyemai hampir semua biji buah yang saya makan...) jadi secara tak langsung ia tumbuh...Pokok ini dikatakan mengambil masa agak lama untuk berbuah iaitu 10 - 15 tahun jadi sila jangan berharap untuk makan buah hasil dari pokok semaian saya tu dalam masa terdekat ni :D


Jumpa di entri yang lain ye...Thank you for dropping by!

My TTC Journey - Part 1 : HSG




Impian setiap perkahwinan adalah untuk menimang cahayamata namun ada juga yang sebaliknya. Jadi...Saya seperti pasangan biasa lain, inginkan zuriat sendiri sebagai penyeri keluarga kecil kami. Berkahwin di usia muda seawal 25 tahun, saya tidak mengimpikan untuk terus menimang cahaya mata tetapi tidak juga merancang kelahiran. Segalanya saya serahkan kepada aturanNya memandangkan saya berkahwin di tahun akhir pengajian.

Awalnya, saya biasa-biasa saja...Tidak pernah terlintas akan "terpilih" untuk diuji kerana semua adik-beradik saya rata-rata bunting pelamin. Agak berdebar di awal tahun perkahwinan namun apabila didapati diri tidak hamil, tidak juga saya cepat melatah. Saya hanya bersikap positif (hingga kini) dan meneruskan kehidupan sepertinya tiada apa-apa yang pelik berlaku memandangkan saya tidak mengalami sebarang simptom ketidaksuburan.

Pada satu hari, hati saya terdetik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik berdekatan. Saya terus ke klinik tanpa sebarang temujanji dan meminta doktor yang merawat untuk membuat pemeriksaan lanjutan namun memandangkan usia perkahwinan saya baru setahun, doktor mengatakan masih terlalu awal dan meminta saya datang lagi dalam tempoh setahun. Saya pulang dengan perasan hampa.


Dalam tahun ketiga, saya mengalami senggugut semasa period (saya tidak pernah senggugut). Suami bergegas membawa saya ke klinik dan doktor melakukan pemeriksaan air kencing dan juga scan. Itulah pertama kali saya melihat rahim saya sendiri, agak teruja melihat sesuatu yang sebegitu hebat yang kita miliki di skrin. Bulat dan comel. Doktor maklumkan ada cyst bersaiz kecil dan saya dibekalkan ubat untuk makan. 

Memandangkan waktu itu, saya bekerja di Kuala Lumpur, saya cuba mendapatkan rawatan di klinik pakar di sana. Saya mula tertarik untuk mencari kaedah rawatan menerusi pembacaan di internet. Ramai rakan-rakan senasib yang saya kenali menerusi blog mencadangkan beberapa lokasi yang baik untuk menjalani rawatan kesuburan. Perkara pertama saya lakukan semasa itu adalah membuat pemeriksaan asas dan HSG. 


HSG adalah ujian yang digunakan untuk mengesan kesihatan rahim dan salur peranakan dan memberikan maklumat samada terdapat kerosakkan pada sistem peranakan kita. Ia mengunakan teknologi x-ray yang dapat memberikan gambaran bentuk rahim dan salur peranakan. Semasa ujian ini, cecair khas akan disuntik ke dalam rahim dan ia akan mengalir kedalam salur peranakan dan seterusnya ke dalam ruang pelvis. Ada rasa sakit sedikit semasa prosedur kerana cecairnya yang sejuk... *__*

Secara umumnya, HSG digunakan untuk mengesan ketidaknormalan pada rahim dan salur peranakan. Ia boleh mengesan kerosakan dan penyumbatan pada pada salur peranakan dan juga boleh memberikan maklumat tentang bentuk dan saiz rahim anda. Ia juga boleh mengesan fibroid atau polip dalam rahim dan juga memberi idea tentang kewujudan parut disekitar ruang pelvis. 

Saya diberikan ubat tahan sakit untuk mengelakkan rasa sakit dan terus pulang untuk berehat selepas sesi pemeriksaan HSG. Kepada yang belum pernah melakukan rawatan ini, saya berpandangan, rawatan ini tidaklah sesakit yang dibayangkan...Anda cuma perlu bertenang dan tidak membayangkan perkara-perkara pelik bagi mengelakkan ketidaklancaran semasa prosedur dijalankan...

Keputusannya? Alhamdulillah baik-baik sahaja...tiada mana-mana saluran yang tersumbat dan saya boleh menjalani rawatan susulan selepas itu :)

Credit to : Alam Hamil

Azam Ramadhan 1437


Ramadhan, bulan istimewa di mana saya dilahirkan. Pada 1 Ramadhan nanti, genaplah 35 tahun saya menghirup nafas di atas muka bumi ini (kalendar Islam). Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah di atas kurniaan ini di mana mudah-mudahan di dalamnya Allah melimpahi keberkatan berpanjangan. Umur yang panjang dan dipersiakan merupakan satu dugaan dalam kita berusaha mengejar syurgaNya. Jadi, jom kita memohon dikurniakan umur  panjang yang berkat.

Ramadhan kali ini, saya seperti sebelumnya..seakan menyambut tahun baru, dipenuhi dengan azam. Saya berharap hanya pada Allah moga kali ini, saya dikurniakan kesihatan, taufiq dan kesabaran serta kemudahan dalam beribadah. Saya juga berharap sepanjang menjalani puasa nanti, saya dilapangkan daripada cabaran dan urusan duniawi...hihihi

Urusan duniawi macam mana tu? Yelah...saya pun manusia biasa yang penuh dengan rasa ingin dan hendak (nafsu la tu...*___*). Teringin nak makan nasi kerabu....hendak jalan-jalan di Jalan TAR...sibuk nak tempah biskut kek...survey tudung raya di Bangi...dan yang paling terbiasa saya buat...berbuka di rumah...berdua. 

Jadi, tahun ini azam saya (mudahan diperkenan) adalah...

1. Bersahur secara sihat...(sebab saya ada gastrik!)
2. Memanfaatkan masa dengan lebih baik dan sempat qailullah / power nap sebelum zohor
3. Lebih banyak membaca Al-Quran..khatam jika boleh
4. Dapat berbuka di masjid/ rumah kebajikan bersama insan kurang bernasib baik seperti rumah anak yatim dan orang-orang tua
5.  Join program i'tikaf dan qiamullail
6.  Berpada dalam berbuka puasa. Makan secukupnya sahaja (ini paling payah *__*)
7.  Dimurahkan rezeki dan upaya untuk membantu golongan kurang bernasib baik

Itu sahajalah...nak disenaraikan banyak risau tak terkejar. Moga saya dipertemuknan dan berjaya dalam mencapai azam Ramadhan pada kali ini. Doakan saya ya! :)

Tart Telur Portugis


Ini tart telur Portugis. Saya suka resepi ni memandangkan ia sangat cepat dan mudah disediakan. Kebanyakan resepi yang saya kongsi berkonsepkan cepat dimasak, sedap dimakan... Resepi ini saya dapat daripada En. Mat Gebu di laman webnya. Kenapa telur Portugis? Ini ceritanya...terima kasih Mr. Wiki :D

Saya kongsikan di sini untuk rakan-rakan sediakan terutama sebagai pencuci mulut Ramadhan nanti InshaAllah!

***********************
Puff pastry jenama 'KAWAN' secukupnya
2 biji kuning telur
200 ml whipping cream* (kalau ada bahan ni, kesan hangus timbul bila bakar, cantik!)
50 ml air *(*En. mat ganti dengan susu segar 250 ml)
40 gm gula halus
15 gm cream cheese
1 camca teh esen vanilla
1 - 2 titik pewarna kuning

Cara-cara:

Satukan whipping cream, air dan gula, kacau rata dan masak hingga suam. Sementara itu kacau kuning telur hingga rata. Tuang 1/3 bahagian susu suam tadi dan kacau pantas hingga rata. Tuang lagi hingga habis dan kacau hingga sebati. 

Masukkan kembali ke dalam periuk, dan masak dengan api kecil sambil dikacau tanpa henti hingga pekat. Matikan api, masukkan cheese dan esen vanilla, kacau rata hingga sebati dan sejukkan.

Puff pastry dicanai sedikit dan alas dalam acuan tat pilihan anda dan kemaskan. Tuang bancuhan telur hingga hampir penuh dalam setiap acuan. Bakar dalam oven pada suhu 190C selama 25 - 30 minit atau hingga permukaan tart telur kental. Sejukkan sebelum keluarkan dari acuan dan boleh hidangkan.


Ini dia contoh pastry tu yang amat berguna dan cepat. Saya beli di Aeon Big, Alamanda tapi kat pasaraya lain pun ada juga, di bahagian frozen
Ini pula whipping cream pada anda yang belum kenal. Boleh cuba nanti ya ;)

Gastrik Ramadhan


Setiap kali tiba Ramadan, setiap kali alasan yang sama diberikan, gastrik dan tidak boleh lapar menyebabkan tidak boleh menjalankan Rukun Islam ke tiga. Tetapi apakah kaitan antara gastrik dan puasa? Benarkah gastrik membataskan seseorang untuk menunaikan ibadah puasa?

Gastrik atau istilah perubatannya, gastritis, adalah sejenis penyakit keradangan pada dinding atau lapisan mukosa perut yang mempunyai rawatan yang efektif. Tanda gastrik mudah dikesan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut antaranya sakit perut, pada bahagian atas abdomen atau ulu hati, perut senak, berangin atau pedih, kembung, sendawa, loya, hilang selera makan atau turun berat badan.

Secara semulajadi sel perut menghasilkan asid hidroklorik dengan pH1 hingga 2 yang mencernakan makanan. Asid yang kuat ini boleh menghakis besi dan sel perut menghasilkan lapisan mukosa sebagai perlindungan terhadap kesan asid tadi. Orang yang mengadu sakit perut apabila lapar menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan jika sakit perut selepas makan mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa lemah.


Ramai menganggap serangan gastrik kerap berlaku semasa bulan Ramadan kerana tidak makan dan tahap asid dalam badan meningkat. Sebenarnya semasa berpuasa, seluruh sistem penghadaman berehat dan rembesan asid hidroklorik dalam perut menurun dan masalah sakit atau senak akibat asid perut yang tinggi tidak timbul. Pakar Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari berkata, sakit perut semasa berpuasa bukan disebabkan gastrik tetapi tabiat pemakanan semasa berbuka.

"Semasa berbuka, mulakan dengan makanan ringan seperti kurma, sedikit kuih atau buah-buahan, tunaikan solat maghrib dan selepas itu barulah ambil makanan lebih berat," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Malangnya apabila tiba masa berbuka, ramai yang berbuka dengan makanan berat dan bersifat kompleks yang menyebabkan ketidakhadaman. Makanan kompleks seperti berempah, lemak dan pedas menjejaskan kelancaran sistem pencernaan menyebabkan sakit perut. Sebenarnya mereka yang menderita gastrik masih juga boleh menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.


Semasa Ramadan, kita hanya makan dua kali sehari dan tidak makan di antara dua masa makan buka dan sahur. Dr. Malik berkata, semasa berbuka dinasihatkan hanya minum air dan makan makanan yang ringkas seperti kurma atau buah-buahan kering. Kurma dan makanan kering amat baik kerana dapat merangsang asid untuk menerima lebih banyak makanan. Kurma juga kaya dengan garam galian seperti potasium selain lambat membebaskan tenaga. Seelok-eloknya kata Dr. Malik, selepas minum air dan kurma, solat dulu sebelum sambung makan yang lebih berat dan selepas itu jangan ambil makanan berat.

Semasa bersahur pula ambil makanan seperti roti, susu, kurma atau oat kerana ketika itu perut belum bersedia menerima makanan. Bagaimanapun sahur amat penting untuk badan kerana ia seperti mengambil sarapan pagi. Dr. Malik berkata, sebanyak 80 peratus penderita gastrik disebabkan oleh bakteria dalam perut Helicobacter pylori (H. pylori) manakala selebihnya disebabkan oleh makanan, ubatan seperti ubat tahan sakit dan stres.

Gastrik bukan disebabkan tidak mengambil makanan tetapi mengambil makanan yang tidak teratur dan seimbang. Mereka yang mempunyai simptom gastrik disyorkan menjalani ujian darah, ujian pernafasan dan endoskopi bagi mendapatkan sampel bakteria di dalam perut. Gastrik yang disebabkan oleh bakteria boleh diubati dengan mengambil ubat antibiotik. Masalah yang kerap berlaku ialah pesakit tidak menghabiskan ubat diberi dan biasanya mereka berhenti mengambil ubat selepas tiga atau empat hari iaitu apabila kesakitan hilang.

Dr. Malik menambah, individu yang ada gastrik sepatutnya boleh berpuasa jika mengamalkan kaedah pemakanan seperti disarankan agama dan pakar pemakanan iaitu melambatkan bersahur, menyegerakan berbuka dan makan secara sederhana.

"Jadi, gastrik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa, melainkan jika ia terlalu memudaratkan. Jika disahkan menghidap gastrik, jumpa dan minta nasihat doktor mengenai pemakanan, gaya hidup dan ubatan yang perlu diambil," katanya.

Artikel Penuh: Utusan Melayu (M) Bhd

Saturday, 21 May 2016

Magic Of The Night - Floria, Bot Berhias dan Bunga Api



Minggu depan ya, saya tolong ingatkan lagi kepada rakan-rakan yang berminat. Jom kita ke Presint 4, Putrajaya. Selain daripada Royal Floria Putrajaya, di sebelah malamnya ada juga perarakan bot berhias di sekitar tasik Presint 2 - Presint 5. Sepertimana terdahulu dimana saya tidak berpeluang mengambil gambar (akibat teruja) jadi kali ini saya bercadang untuk mendapatkan koleksi menarik gambar-gambar bot berkenaan ;)




Ini adalah gambar lama yang saya dapat dari Mr. Google. Untuk gambar bot 2016, tunggu ya! Saya dapati setiap tahun, terdapat tema tertentu namun untuk perarakan pada kali ini, saya sendiri kurang pasti apakah pula tema yang akan ditetapkan. Yang pastinya, setiap satu bot tersebut amat menarik dengan lampu hiasan yang pelbagai bentuk. Selain daripada bot MOTAC dan negeri-negeri di Malaysia, terdapat juga bot berhias dari luar negara.


Sukar untuk saya bayangkan hanya melalui gambar. Alang-alang singgah ke Floria, perarakan ini rasanya adalah pelengkap kepada kunjungan anda kelak. Mudah-mudahan cuaca baik sepanjang minggu depan untuk kita sama-sama menyaksikan keindahan bunga-bungaan di Floria, perarakan bot berhias dan juga bunga api :)




Tiket boleh didapati secara online di sini dan tentu sahaja ada tiket early bird untuk kita pada harga yang lebih rendah :D

Jom!

Blueberi Malaysia (Kemunting)



Selamat petang semua! Hari ni sambil beristirehat kat rumah di samping keluarga, saya nak perkenalkan kepada rakan-rakan akan buah beri biru keluaran Malaysia :)


Salah satu hobi saya ialah bercucuk tanam. Saya ada menanam sejenis pokok renek yang menghasilkan buah beri hampir sepanjang tahun yang dikenali sebagai Kemunting. Kemunting ini merupakan pokok yang amat mudah ditanam dan tidak memerlukan kepada penjagaan rapi, cukup sekadar siram dan tidak memerlukan baja, cuma pastikan pencahayaan yang cukup sahaja. Pokok yang saya kira banyak terdapat di pesisir pantai ini mengeluarkan bunga berwana pink (seakan sakura!) yang amat cantik. Saya selalu menganggap pokok ini sebagai hiasan kerana bunganya yang menawan dan kerap menarik perhatian sang lebah. Bahkan, di saat saya mengambil gambar di atas pun terdapat lebah sedang menghisap madu di situ :)


Di bawah ni buahnya yang telah saya kutip dan basuh sebelum dimakan. Tekstur buahnya yang seakan beri dengan biji-biji halus di dalam buah (seperti buah tin) menyebabkan ia tak jemu untuk dimakan. Rasanya akan lebih manis apabila bertukar dari merah kepada ungu kehitaman. Biasanya saya akan makan ia begitu sahaja tetapi ia boleh juga dibuat jus atau jem. Ini merupakan sejenis pokok yang saya syorkan kepada ibubapa untuk menanamnya selain Mulberi kerana keseronokan anak-anak untuk memetik buahnya apabila tiba musim. Pokok ini sentiasa berbuah namun ada masanya dimana ia akan menghasilkan buah dengan amat lebat.



Pokok ini juga gemar kepada medium berpasir. Benihnya ada dijual dengan harga sekitar RM5 hingga RM10 bergantung saiz. Anda boleh mendapatkan anak pokok ini dan menanamnya di dalam pasu atau atau terus di atas tanah. Selamat menanam kepada yang ingin mencuba ;)

Friday, 20 May 2016

Sya'aban



[Soal Jawab Ibadah] Kelebihan Bulan Sya'ban Dan Malam Nisfu Sya'ban

Apakah Kelebihan sya'ban

Daripada Usama bin Zaid ra, beliau berkata:

ولم يكن يصوم من الشهور ما يصوم من شعبان قلت ولم أرك تصوم من الشهور ما تصوم من شعبان؟

ذاك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين عز وجل فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم

"Rasulullah saw tidak pernah berpuasa sebanyak yang baginda puasa dibulan sya'ban." Aku bertanya kepada baginda " Kenapa aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dibulan-bulan yang lain sepertimana engkau berpuasa dibulan sya'ban." Baginda saw menjawab: Itulah bulan yang ramai manusia lalai iaitu diantara bulan rejab dan bulan ramadan. Ia juga bulan yang diangkatkan amalan kepada Allah swt. Aku suka diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa."

(Hadis Ahmad dan Nasaie - sanad yang hasan)

Disini Nabi menyebut dua kelebihan bulan sya’ban:

1. Bulan yang disunatkan beramal terutamanya puasa kerana bulan yang mana manusia biasa lalai dalam bulan ini.

2. Bulan yang diangkat amalan kepada Allah swt.

Adakah Nabi saw berpuasa penuh pada bulan sya'ban?

Ada hadis yang menunjukkan Nabi saw berpuasa penuh dalam bulan sya'ban seperti hadis:

كان يصوم شعبان كله

"Nabi saw berpuasa penuh didalam bulan sya'ban."

(Hr Bukhari - sahih)

Ada hadis yang menunjukkan Nabi saw berpuasa sebahagian besar pada bulan sya'ban dan tidak penuh seperti hadis:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم شعبان إلا قليلا

" Rasulullah saw telah berpuasa sebahgian besar dari bulan sya'ban."

(Hr Nasaie)

Sekelompok ulama telah mentarjih pendapat yang mengatakan Nabi saw tidak berpuasa penuh dalam bulan sya'ban. Ini dikuatkan dengan hadis yang diriwayatkan dari 'Aisyah ra:

ما رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم استكمل صيام شهر قط إلا رمضان

"Aku tidak pernah melihat Rasulullah saw berpuasa selama sebulan penuh melainkan pada bulan ramadan."

(Hr Bukhari dan Muslim - sanad sahih)

oleh itu Ibnu Abbas menganggap makruh orang yang berpuasa penuh selama sebulan melainkan ramadan.

Hukum berpuasa selepas 15 sya'ban
Haram berpuasa sunat selepas 15 sya'ban. Ini jelas dari hadis dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw:

إذا انتصف شعبان فلا تصوموا

"Apabila telah berlalu 15 sya'ban tidak boleh puasa."

(Hr Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah - sahih)

Dibenarkan puasa selepas 15 sya'ban sekiranya adatnya pada hari tertentu dia berpuasa sebelum 16 sya'ban atau menyambung dari puasa yang seseorang puasa sebelum 16 sya'ban. Ini berdasarkan hadis berikut:

لا تقدموا رمضان بصوم يوم أو يومين إلا إذا كان يصوم صوما فليصمه

"Janganlah kamu mendahului berpuasa sebelum ramadan sehari atau dua hari melainkan sekiranya puasa yang biasa dilakukan maka dia boleh teruskan puasa."

(Hr Bukhari dan Muslim)

Dibenarkan puasa selepas 15 sya'ban sekiranya puasa wajib seperti puasa ganti dan puasa nazar.

Kelebihan hari dan malam nisfu (15) sya'ban

1. Adapun kelebihan Malam Nishfu Sya'baan itu telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wa sallam yang maksudnya :

"Allah memandang kepada semua makhlukNya di Malam Nishfu Sya'baan, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan."

(Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)

2. Nabi saw bersabda:

إن الله ليطلع ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن

"Sesungguhnya Allah taala akan meninjau pada malam nisfu sya'ban, lalu mengampunkan dosa-dosa semua makhluknya melainkan orang yang musyrik atau orang yang berbalah."

(Hr Ibnu Majah - hasan)

3.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : "فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ

رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ :يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قَالَتْ :قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ" - رواه الترميذي وابن ماجه وأحمد .

Hadis daripada Ummul Mukminin Sayidatina ‘Aisyah R.A telah berkata : "Aku telah kehilangan nabi S.A.W pada suatu malam, maka aku telah keluar untuk mendapatinya maka baginda berada (sedang berdiri di kawasan perkuburan)Baqi’ sambil mendongakkan kepalanya ke langit.lalu baginda berkata : Wahai ‘Aisyah, adakah kamu takut Allah dan Rasulnya melakukan kezaliman ke atas kamu? Berkata ‘Aisyah : Bukan demikian sangkaanku tetapi aku menjangkakan kamu telah pergi kepada sebahagian daripada isteri-isteri kamu(atas perkara-perkara yang mustahak lalu aku ingin mendapat kepastian). Lalu baginda bersabda : Sesungguhnya Allah Ta’ala telah turunkan(malaikatNya dengan perintahNya) pada malam nisfu Sya’ban ke langit dunia, lalu Allah mengampunkan dosa-doa (yang dilakukan oleh hambaNya) lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu yang terdapat pada kambing-kambing peliharaan (bani) Kalb."

-Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.

4. 


عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ
مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ " - رواه الطبرانى وصححه ابن حبان .
Hadis daripada Saidina Mu’adz ibnu Jabal R.A bahawa nabi S.A.W telah bersabda : “Allah memandang pada kesemua makhluk ciptaanNya pada malam nisfu Sya’ban, lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua makhlukNya melainkan dosa orang musyrik (yang menyekutukan Allah)dan dosa orang yang bermusuhan.”

-Riwayat Al-Tobrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban.

5.
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ

شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ" - رواه ابن ماجه .

Hadis daripada Saidina ‘Ali R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda :“Apabila masuk malam nisfu Sya’ban, maka hendaklah kamu bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah Ta’ala menurunkan malaikatnya ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya matahari, lalu Allah berkata : Sesiapa yang memohon keampunan padaKu maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya, sesiapa yang demikian…sesiapa yang demikian …sehinggalah terbitnya fajar.”

-Riwayat Ibnu Majah.

Malam Nisfu Sya’ban adalah antara malam yang dikabulkan doa

Berkata Imam asy-Syafi`ie dalam kitabnya al-Umm:


"Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya `Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nishfu Sya'baan."

Malam Nishfu Sya'baan merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala. Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu di atas.



Cara Salafussoleh menghidupkan Malam Nisfu Sya’ban:


Adapun cara menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi shallallahu `alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi`in dari penduduk Syam. Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib al-Ladunniyah, bahawa para tabi`in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma'dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya'baan. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.

Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya (Lathoif Al-Ma’arif) :

“Ulama’ di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam nisfu Sya’ban kepada dua pandangan.

Pertamanya :
Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid. Khalid ibn Ma’dan dan Luqman ibn ‘Amir dan selain daripada mereka telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.

Dan Ishaq ibn Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan ibadah di masjid secara berjamaah : “Perkara tersebut tidaklah menjadi bid’ah.” Kalam ini dinukilkan oleh Harb Al-Kirmani di dalam kitab Masail nya.

Keduanya :

Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan Al-Auzaie Imam Ahli Syam dan Ahli Faqeh dan ‘Alim.”

Imam Ibnu Taymiah juga berkata:

"Apabila seseorang solat seorang diri dimalam nisfu sya'ban atau berjemaah seperti mana yang dilakukan oleh kelompok2 salafus soleh adalah perkara yang baik."

(Majmu'ul Fatawa 131/23)

Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan membaca Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi`in itu.

Berhubung dengan persoalan sholat khas Nishfu Sya'baan, maka berlaku khilaf antara ulama kita, ada yang mensabitkannya seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan ada yang memandangnya sebagai bid`ah yang keji. Khilaf berlaku pada pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu sholat khusus malam tersebut seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk keluar dari khilaf bagi sesiapa yang hendak bersholat, maka lakukanlah sholat-sholat sunnat seperti sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib dan Isya`), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq . Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nishfu Sya'baan atau pada malam-malam yang lain.

Apakah dibenarkan membaca Surah Yasin 3 kali di Malam Nisfu Sya’ban ?
Jawapan yang diberi oleh Mufti Mesir (Dr Ali Jum’ah) :

Tidaklah mengapa seandainya membaca surah Yasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib secara terang-terangan dan beramai-ramai. Hal ini kerana termasuk dalam perkara menghidupkan malam tersebut dan perkara berkaitan dengan zikir ruangannya adalah luas. Adapun mengkhususkan sebahagian daripada tempat dan waktu untuk melakukan sebahagian daripada amalan soleh secara berterusan adalah termasuk dalam perkara yang disyariatkan selagi mana seseorang yang melakukan amalan tersebut tidak beri’tiqod(menjadikannya sebagai pegangan) ; bahawa perkara tersebut adalah wajib di sisi syara’ yang membawa hukum berdosa sekiranya meninggalkannya.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : "كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبً" -

متفق عليه .

Hadis daripada Ibnu Umar R.A telah berkata : “Nabi S.A.W akan mendatangi masjid Quba pada setiap hari Sabtu samada dengan berjalan ataupun menaiki tunggangan.”

-Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.

Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Fathul Bari) :

“Di dalam hadis ini walaupun berbeza jalan-jalan pengriwayatannya menunjukkan kepada (hukum) harus mengkhususkan sebahagian hari-hari untuk melakukan sebahagian daripada amalan-amalan soleh serta melakukannya secara berterusan.”

Kesimpulan:

Oleh itu digalakkan menghidupkan malamnya dengan ibadah dan siangnya dengan puasa. 

Maka menghidupkan malam nisfu Sya’ban sama ada secara berjamaah ataupun secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan orang ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah menjadi bid’ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak menjadikan amalan tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.

Sekiranya amalan tersebut diwajibkan ke atas orang lain serta menghukum kepada mereka yang tidak mengikutinya dengan hukum berdosa maka menghukumkan dengan hukum dosa itu yang menjadi bid’ah kerana mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W. Inilah makna yang menjadikannya makruh sebagaimana pandangan para salafussoleh terhadap hukum makruh dalam menghidupkan malam nisfu Sya’ban. Adapun menghidupkan malamnya sebagaimana hakikat asalnya maka perkara tersebut adalah disyariatkan dan tidaklah menjadi makruh.

Disediakan oleh :

1. Ustaz Salman Maskuri
2. Ustaz Syed abdul Kadir al joofre
3. Ustaz Abu Muhammad
4. Ustaz Elman Syud
5. Ustaz Ahmad Fahmi Che Nordin
Rujukan:

1. Lataiful Maarif oleh Ibnu Rajab, Mu'tamad oleh Dr Muhammad Zuhaily
2. Lailatun Nisfis Sya'ban oleh Syeikh Zaki Ibrahim.
3. Majalah Minbar Al-Islam, keluaran tahun ke-(68), bil (8) Sya’ban
1430, m/s 136.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...